Dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu, bunga telur merupakan
cenderahati yang tidak asing lagi. Para tetamu jemputan yang menghadiri majlis
perkahwinan pastinya akan mendapat bunga telur daripada pihak pengantin sebagai
titipan dan kenangan daripada pengantin sekeluarga. Ia juga mewakili ucapan
terima kasih dan penghargaan buat tetamu jemputan yang datang meraikan
kedua-dua mempelai. Di samping itu tetamu jemputan, bunga telur juga diberikan
kepada mereka yang datang membantu membuat persiapan majlis perkahwinan seperti
saudara-mara dan jiran tetangga. Di sesetengah tempat titipan buat mereka yang
datang memasak, menaikkan khemah, membuat pelamin dan menghias bilik pengantin
bukan sahaja terdiri daripada bunga telur tetapi juga disertai dengan beberapa
cenderahati lain sebagai ucapan terima kasih daripada tuan rumah. Budaya
seperti inilah yang menjadikan setiap majlis perkahwinan itu unik. Bukan sahaja
kanak-kanak, malah orang dewasa juga ternanti-nanti bunga telur daripada
keluarga pengantin.
Selain dijadikan sebagai cenderahati kepada tetamu jemputan, bunga
telur juga digubah sebagai bunga pahar yang diletakkan di perkarangan pelamin.
Bunga telur yang menghiasi pelamin diberikan kepada tetamu yang mengambil bahagian
dalam majlis menepung tawar. Sebaik selesai menepung tawar, tetamu yang
mengambil bahagian akan mendapat bunga telur sebagai ucapan terima kasih.
Ada pelbagai reka bentuk bunga telur yang muncul pada setiap zaman.
Daripada reka bentuk yang ringkas dan murah hinggalah rekaan yang ekslusif dan
mahal. Malah, cenderahati yang diberikan kepada tetamu kini tidak terhad kepada
telur sahaja tetapi juga terdiri pelbagai jenis cenderahati yang lain seperti
manisan dan barang perhiasan. Penyediaan cenderahati seperti ini lebih mudah
berbanding penyediaan telur rebus bagi jumlah jemputan yang ramai.
Bagaimanapun, pemberian bunga telur bukan sahaja menjadi satu kebiasaan
kepada orang Melayu tetapi juga sudah menjadi simbolik kepada sesebuah majlis
perkahwinan. Inilah yang menjadi sebahagian daripada budaya unik orang Melayu.
Indah sanggul kalungan melur
Putera Bentan senyum terpana
Jangan dilupa bingkis bunga telur
Tanda ingatan mempelai sekeluarga
Saudagar berdagang hingga ke Lingga
Singgah ke Melaka membeli timah
Baik-baik berumah tangga
Semoga bahagia hingga ke jannah