Monday, July 11, 2016

BUNGA PAHAR DUA WARNA


Kali ini kami mencuba pula projek baharu - gubahan bunga pahar dengan menggunakan dua warna yang berbeza. Trend akhir-akhir ini, ramai orang suka menggabungan dua warna yang kontra untuk dekorasi. Menggabungkan dua warna yang berbeza ada risikonya. Kadangkala kita melihatnya cantik tetapi tidak pada pandangan orang lain. Jadi kali ini, kami pun cubalah buat gabungan warna yang selalu menjadi pilihan orang - merah jambu dan biru lembut.





Di bawah ini, kami tunjukkan gubahan satu warna.








Dah tengok yang close up, cantik tak? Maaflah, orang baru belajar fotografi, rasa terujanya lain macam. 

Deskripsi :
  1. Material : Bunga daripada kertas crepe. 
  2. Ukuran : Bunga besar berdiameter 3 inci dan yang kecil lebih kurang 1 inci
  3. Harga :RM 2.50/pcs

Wednesday, May 18, 2016

GUBAHAN BUNGA CREPE DAN ALAT TULIS

Ini adalah satu contoh gubahan bunga crepe untuk diberikan kepada orang tertentu sebagai hadiah. Boleh juga selitkan kad ucapan pada gubahan.





Deskripsi:
  1. Bunga daripada kertas crepe dan dihias dengan manik tampal
  2. Bentuk hati daripada material kain felt

Tuesday, May 10, 2016

BUNGA TELUR : TITIPAN DARIPADA PENGANTIN SEKELUARGA


Dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu, bunga telur merupakan cenderahati yang tidak asing lagi. Para tetamu jemputan yang menghadiri majlis perkahwinan pastinya akan mendapat bunga telur daripada pihak pengantin sebagai titipan dan kenangan daripada pengantin sekeluarga. Ia juga mewakili ucapan terima kasih dan penghargaan buat tetamu jemputan yang datang meraikan kedua-dua mempelai. Di samping itu tetamu jemputan, bunga telur juga diberikan kepada mereka yang datang membantu membuat persiapan majlis perkahwinan seperti saudara-mara dan jiran tetangga. Di sesetengah tempat titipan buat mereka yang datang memasak, menaikkan khemah, membuat pelamin dan menghias bilik pengantin bukan sahaja terdiri daripada bunga telur tetapi juga disertai dengan beberapa cenderahati lain sebagai ucapan terima kasih daripada tuan rumah. Budaya seperti inilah yang menjadikan setiap majlis perkahwinan itu unik. Bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa juga ternanti-nanti bunga telur daripada keluarga pengantin.

Selain dijadikan sebagai cenderahati kepada tetamu jemputan, bunga telur juga digubah sebagai bunga pahar yang diletakkan di perkarangan pelamin. Bunga telur yang menghiasi pelamin diberikan kepada tetamu yang mengambil bahagian dalam majlis menepung tawar. Sebaik selesai menepung tawar, tetamu yang mengambil bahagian akan mendapat bunga telur sebagai ucapan terima kasih.

Ada pelbagai reka bentuk bunga telur yang muncul pada setiap zaman. Daripada reka bentuk yang ringkas dan murah hinggalah rekaan yang ekslusif dan mahal. Malah, cenderahati yang diberikan kepada tetamu kini tidak terhad kepada telur sahaja tetapi juga terdiri pelbagai jenis cenderahati yang lain seperti manisan dan barang perhiasan. Penyediaan cenderahati seperti ini lebih mudah berbanding penyediaan telur rebus bagi jumlah jemputan yang ramai.

Bagaimanapun, pemberian bunga telur bukan sahaja menjadi satu kebiasaan kepada orang Melayu tetapi juga sudah menjadi simbolik kepada sesebuah majlis perkahwinan. Inilah yang menjadi sebahagian daripada budaya unik orang Melayu.

Indah sanggul kalungan melur

Putera Bentan senyum terpana

Jangan dilupa bingkis bunga telur

Tanda ingatan mempelai sekeluarga



Saudagar berdagang hingga ke Lingga

Singgah ke Melaka membeli timah

Baik-baik berumah tangga

Semoga bahagia hingga ke jannah

Sunday, March 27, 2016

LANGKAH PERTAMA

Assalamualaikum wbt.

Kepada bakal pengantin yang sedang mencari cenderahati yang menarik dan manis, apa kata anda cuba lihat-lihat di teratak Cik Puan ini. Pada masa ini, Cik Puan sedang menyiapkan rekaan bunga telur daripada kertas crepe (crepe paper).


 Yang ini rekaan yang telah siap

Yang ini bunga telur yang sudah siap diletakkan pada pahar (p/s : sila abaikan doodle dekat dinding tu, ya!)

Deskripsi
Manik tampal pada bunga
Hiasan reben
Harga : RM2.50 /pcs