Wednesday, May 18, 2016

GUBAHAN BUNGA CREPE DAN ALAT TULIS

Ini adalah satu contoh gubahan bunga crepe untuk diberikan kepada orang tertentu sebagai hadiah. Boleh juga selitkan kad ucapan pada gubahan.





Deskripsi:
  1. Bunga daripada kertas crepe dan dihias dengan manik tampal
  2. Bentuk hati daripada material kain felt

Tuesday, May 10, 2016

BUNGA TELUR : TITIPAN DARIPADA PENGANTIN SEKELUARGA


Dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu, bunga telur merupakan cenderahati yang tidak asing lagi. Para tetamu jemputan yang menghadiri majlis perkahwinan pastinya akan mendapat bunga telur daripada pihak pengantin sebagai titipan dan kenangan daripada pengantin sekeluarga. Ia juga mewakili ucapan terima kasih dan penghargaan buat tetamu jemputan yang datang meraikan kedua-dua mempelai. Di samping itu tetamu jemputan, bunga telur juga diberikan kepada mereka yang datang membantu membuat persiapan majlis perkahwinan seperti saudara-mara dan jiran tetangga. Di sesetengah tempat titipan buat mereka yang datang memasak, menaikkan khemah, membuat pelamin dan menghias bilik pengantin bukan sahaja terdiri daripada bunga telur tetapi juga disertai dengan beberapa cenderahati lain sebagai ucapan terima kasih daripada tuan rumah. Budaya seperti inilah yang menjadikan setiap majlis perkahwinan itu unik. Bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa juga ternanti-nanti bunga telur daripada keluarga pengantin.

Selain dijadikan sebagai cenderahati kepada tetamu jemputan, bunga telur juga digubah sebagai bunga pahar yang diletakkan di perkarangan pelamin. Bunga telur yang menghiasi pelamin diberikan kepada tetamu yang mengambil bahagian dalam majlis menepung tawar. Sebaik selesai menepung tawar, tetamu yang mengambil bahagian akan mendapat bunga telur sebagai ucapan terima kasih.

Ada pelbagai reka bentuk bunga telur yang muncul pada setiap zaman. Daripada reka bentuk yang ringkas dan murah hinggalah rekaan yang ekslusif dan mahal. Malah, cenderahati yang diberikan kepada tetamu kini tidak terhad kepada telur sahaja tetapi juga terdiri pelbagai jenis cenderahati yang lain seperti manisan dan barang perhiasan. Penyediaan cenderahati seperti ini lebih mudah berbanding penyediaan telur rebus bagi jumlah jemputan yang ramai.

Bagaimanapun, pemberian bunga telur bukan sahaja menjadi satu kebiasaan kepada orang Melayu tetapi juga sudah menjadi simbolik kepada sesebuah majlis perkahwinan. Inilah yang menjadi sebahagian daripada budaya unik orang Melayu.

Indah sanggul kalungan melur

Putera Bentan senyum terpana

Jangan dilupa bingkis bunga telur

Tanda ingatan mempelai sekeluarga



Saudagar berdagang hingga ke Lingga

Singgah ke Melaka membeli timah

Baik-baik berumah tangga

Semoga bahagia hingga ke jannah